Rahman Bin Hj Malik. Pemilik syarikat membuat dapur kubur. Hmmm....macam seram gitu kan...hehehe. Itulah papaku ! Seorang kontraktor yang memasang dapur kubur di pusara Islam Singapura. Papa bermula dengan mengikuti teman baiknya setelah diberhentikan kerja dahulu. Mulanya sekadar mengisi masa sahaja, sementara menanti dipanggil untuk bekerja sebagai sekuriti. Lama-kelamaan, papa menjadi semakin selesa. Setiap kali memegang batu-batu nisan, beliau berasa insaf. Mati itu pasti. Itu janji Allah. Semenjak itu papa menjadi semakin beriman pada Allah. Papa tidak lagi leka dan lalai dalam mengerjakan suruhan Allah.
Mama menjadi pendorong terkuat. Setiap hujung minggu mama pasti menemani papa menyiapkan dapur-dapur kubur yang ditempah para waris. Walaupun mama tidak membantu apa-apa, sudah cukup membuat papa gembira bila melihat isteri dan anak bongsunya disisi. Bekerja sebagai pembantu administrasi di sebuah hospital swasta, mama hanya dapat menemani papa pada hujung minggu atau semasa sedang bercuti. Waktu itu lah aku sering terlonjat-lonjat ingin mengikut. Kededua kakakku pula mama dan papa titipkan pada teman baik mama, cik Ju yang tinggal berdekatan. Kak Sha dan kak Lin memang penakut. Siap tutup telinga lagi bila kita sebut-sebut pasal kubur, batu nisan, bunga kemboja, tanah kubur, jenazah dan semua yang sewaktu dengannya.
Selalunya pada hari-hari biasa, papa akan menghabiskan kerja-kerja di tempat sewaan syarikat di Woodlands. Hujung minggu pula papa akan sepenuhnya berada di pondok kecil berdekatan pusara Abadi untuk menyiapkan mana-mana yang perlu dan bertemu dengan para waris. Teman papa juga turut turun padang. Sebab biasanya pada hujung minggu lah waris dan keluarga si mati akan berbincang dengan kontraktor-kontraktor yang menawarkan berbagai pakej. Berbagai ragam waris yang pernah kami temui. Kami bertiga akan pulang selepas jenazah terakhir dikebumikan. Masa itulah cik Ju dan kakak-kakakku akan turut serta bersama kami untuk menjamu selera di luar.
Seawal usia 3 tahun aku sudah mengikut papa dan mama ke kawasan pusara. Bagaikan rutin mingguan yang tak pernah aku lepaskan. Di situlah aku mengenal cik Man, wak Rosli dan isterinya cik Biah, Tok Cik dan cucunya, abang Azhar, cik Rashid dan anaknya abang Hans dan ramai lagi lah. Tukang mandi jenazah pun kenal aku tau !! Mana tidak, asal ada pengkebumian jer, aku lah budak kecil yang sibuk ikut naik traktor cik Rashid untuk menimbus tanah. Itu pun kena buat 'lomcampas' dulu dgn abang Hans. Hanya kami berdua yang berebut-rebut nak ikut traktor. Abang Azhar masa itu sudah besar. Lagi pun abang Azhar budak Johor. Dia ikut datuk dia, Tok Cik, untuk jual bunga yang orang buat tabur kat atas pusara. Tempat dia berniaga jauh sikit dari pondok rehat kami.
Indah betul kenangan zaman aku kecil-kecil dulu. Kakak-kakakku suka bermain di taman permainan yang cantik-cantik, aku pula berlari-lari di kawasan pusara. Kadang-kadang dikejar abang Rashid. Kadang tu pula aku sengaja pukul abang Hans dan lari jauh-jauh. Sampai nak terkeluar anak tekak mama memanggil-manggil aku. Pernah juga beberapa kali aku lari, ada budak lain pulak yang sama-sama berlari dengan aku. Masa itu kecil lagi, mana lah aku tahu takut. Kadang-kadang budak perempuan sebaya aku yang ikut bermain. Ada sekali itu budak lelaki yang sebaya macam abang Hans. Bila aku tanya nama, dia cuma senyum sahaja. Lepas itu hilang entah kemana. Itu yang mama dengan papa selalu sapu muka aku dengan air selawat bila aku cerita pasal 'kawan-kawan' baru aku itu. Hehehe....manalah aku tahu dorang itu bukan orang !
Beberapa kali juga lah mama dengan papa tak beri aku ikut ke pusara lagi. Aku pun boleh tahan juga. Sampai hentak-hentak kaki. Hendak tak hendak terpaksalah juga papa dan mama angkut aku sekali. Dari kecil lagi aku sudah diajar untuk ikut menghadiahkan surah Al-Fatehah dan berselawat nabi. Kata cik Man masa ini lah kita hadiahkan surah Al-Fatehah buat arwah, agar ringan sikit bebanannya di alam barzakh sana.Sering lah juga mama ajak aku bersolat di surau berdekatan jalan besar itu. Dan aku pun tahu bagaimana untuk solat jenazah. Paling mudah.
" Abang Hans, kenapa semua orang yang meninggal bungkus dengan kain putih eh ?" Seingatku ketika menyoal abang Hans yang belanja aku makan ais krim dekat dengan pondok papa.
" Sebab warna putih tu, warna yang melambangkan suci dan bersih". Jawab abang Hans lancar.
" Color purple pun bersih apa ! Adik suka color purple seyh !!" Tingkahku yang berusia 6 tahun tika itu.
" Putih lagi bersih lah !" Kata abang Hans lagi yang waktu itu sudah dalam darjah 4, sebaya kak Lin.
" Purple pun bersih lah, abang Hans. Tengok baju adik ni, bersih kan ? Hmm....wangi lagi".
Aku cium berkali-kali lengan baju blaus ku yang berwarna ungu itu. Tanpa aku sedari lelehan cecair ais krim terjatuh ke atas baju ku itu. Aku cuba menyapunya dengan telapak tangan kecil ku. Abang Hans sudah mula bergelak ketawa. Aku jadi geram. Baru sahaja aku puji-puji warna kegemaranku, dah kotor pulak terkena ais krim. Aku jeling abang Hans dengan tajam. Ketawanya semakin menjadi-jadi. Tanpa berlengah lagi, aku tadah lelehan ais krim yang sudah kelihatan mahu tumpah itu. Kemudian aku sapukan pada lengan baju putih bersih abang Hans. Puas hati kecil ku.
" Woi adik !!! Ini kan baju sekolah abang !!!" Jerit abang Hans, marah.
Kecut juga hati aku masa itu. Tak pernah-pernah abang Hans semarah itu. Perlahan-lahan aku undur ke belakang. Setapak demi setapak. Sekiranya dia mula mangamuk aku sudah bersedia untuk lari. Ketika wajahnya terangkat aku terlihat kening tebalnya juga terangkat sama. Mukanya memerah. Masam mencuka. Tanpa buang masa, aku pun terus lari meninggalkan tempat itu.
Aduhai kenangan....
No comments:
Post a Comment